PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) melaksanakan tugas di sempadan utama negara, berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri berkata, semua jabatan dan kementerian berkaitan perlu meletakkan pegawai masing-masing walaupun rang undang-undang (RUU) berkaitan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai depan.

"Jadi orang tanya bagaimana boleh dilaksanakan 1 Mei? Saya jawab punca kuasa pada pegawai-pegawai berkenaan. Maknanya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya ada punca kuasa.

"Oleh demikian,  semua jabatan dan kementerian harus menerima arahan ini dan meletakkan pegawai-pegawai di sempadan utama sekarang dan melaksanakan tugas.  Datuk Seri Hazani Ghazali (Ketua Pengarah MCBA) mempunyai tugas besar untuk jaga seluruh sempadan kita," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dokumen Terma Rujukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (MCBA) dan penguatkuasaan mengenai kawalan dan perlindungan sempadan negara dan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI Tahun 2024, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lepas, Anwar mengumumkan penubuhan SBA (kini MCBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Inisiatif yang dirancang sejak 2018 itu akan menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk antaranya Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar berkata semua jabatan tanpa kecuali harus menerima arahan dengan serius dalam memastikan keselamatan di sempadan negara, sekali gus mengekang kegiatan penyeludupan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap dalam majlis sama memaklumkan pihaknya yakin dalam masa terdekat akan mengumumkan beberapa 'game changer'.

Jelas beliau, pengumuman tersebut, antaranya bertujuan untuk memudahkan ketibaan pengembara luar ke dalam negara dan mengelakkan kesesakan.

"Kita akui had kita tetapi tak ada benda yang tidak boleh iktiar untuk (mencari) jalan keluar (mengatasi masalah berkenaan). Teguran dan asakan berterusan daripada Perdana Menteri, kami tak ambil hati sebaliknya kami anggap ia sebagai cabaran.

"Saya sebut bukan sebagai kata-kata politik... tetapi depan Ketua Setiausaha.... Saya mudah, Perdana Menteri asak saya, saya asak KSU... (dan) KSU asak Ketua Pengarah Imigresen," ujarnya.

Saifuddin menambah masih banyak ruang yang boleh ditambah baik di pintu-pintu masuk negara khususnya untuk menerima kedatangan para pelancong.